KUALA LUMPUR: Senheng New Retail Bhd (Senheng) mengambil langkah agresif dalam mendepani cabaran ekonomi semasa dengan melancarkan strategi transformasi terbaharu dikenali sebagai Hala Tuju Perniagaan Flywheel 2.0 2026.
Langkah strategik ini dilihat sebagai satu usaha proaktif syarikat peruncitan elektronik pengguna gergasi itu untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar.
Pelan komprehensif ini dirangka khusus bagi menangani pelbagai isu kritikal yang sedang menghimpit sektor runcit pada masa kini, termasuk kelembapan pendapatan serta persaingan sengit dalam kalangan pemain industri.
Selain itu, strategi ini turut memberi tumpuan untuk mengatasi masalah prestasi e-dagang yang lemah serta tekanan terhadap margin keuntungan yang dihadapi oleh syarikat.
Dalam satu kenyataan, Senheng berkata, Flywheel 2.0 menggariskan enam dimensi yang saling berkaitan serta 30 inisiatif khusus yang tertumpu kepada pengukuhan enjin trafik pelanggan dan mempercepatkan penjanaan pendapatan syarikat.
"Inisiatif yang dirangka itu direka untuk memperkukuh antara satu sama lain bagi mewujudkan satu kitaran pertumbuhan perniagaan yang mampan dari semasa ke semasa.
"Sebagai nadi kepada strategi pemulihan ini, Senheng memperkenalkan Transformasi ke-9 mereka iaitu Model Perniagaan Ekonomi Berasaskan Mata Ganjaran (PBE).
"Model perniagaan baharu ini bertindak sebagai strategi disruptif yang direka khas untuk mengangkat S-Coin menjadi enjin ganjaran utama dan pusat penglibatan pelanggan," katanya.
Bagi membina semula permintaan dan meningkatkan jumlah pengunjung ke kedai, syarikat itu kini sedang mempercepatkan pengeluaran S-Coin kepada pelanggan menerusi pelancaran kempen berimpak tinggi bertajuk "Untung Gila".
Usaha ini disokong dengan pengukuhan pengaktifan 'Super Store' serta pengembangan saluran jualan baharu seperti perdagangan berasaskan perbualan dan saluran afiliasi.
Dalam memastikan kecekapan operasi, inisiatif pertumbuhan pendapatan ini turut dilengkapkan dengan langkah tegas untuk memperkukuh kualiti margin, termasuk tindakan mengoptimumkan kedai-kedai yang kurang berprestasi.
Senheng juga akan memberi fokus kepada penskalaan jenama pengedaran langsung secara lebih mendalam serta mengembangkan penawaran kepada kategori produk yang menawarkan margin lebih tinggi.
Dari sudut pendigitalan, kumpulan itu kini memberikan tumpuan serius terhadap peningkatan kadar penukaran jualan dan kebolehpercayaan perkhidmatan melalui kesediaan pemenuhan pesanan yang dipertingkatkan.
Pendekatan ini dipacu oleh inisiatif berasaskan data serta integrasi yang lebih kukuh merentasi ekosistem 'omnichannel' milik syarikat berkenaan.
Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng, berkata model PBE itu menandakan langkah penting dalam fasa transformasi syarikat seterusnya dan mencerminkan kepercayaan mereka bahawa model berkenaan mampu membentuk semula cara industri runcit elektronik mencipta nilai.
"Pendekatan berdisiplin untuk membina semula permintaan dan mengukuhkan kualiti pendapatan sambil mengekalkan tumpuan terhadap kemampanan jangka panjang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Korporat Senheng, Lim Yau Young menjelaskan bahawa Model Perniagaan PBE memainkan peranan yang cukup penting dalam menjayakan strategi Flywheel 2.0.
"Dengan meningkatkan nilai sepanjang hayat pelanggan dan menurunkan kos pemerolehan, syarikat dapat meletakkan asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan," katanya.
Melalui gabungan strategi PBE dan Flywheel 2.0, Senheng berhasrat untuk memperkukuh kedudukan pasarannya dengan mengintegrasikan data, teknologi, dan inisiatif berpusatkan pelanggan ke dalam model operasi yang lebih tangkas. Matlamat utama syarikat adalah untuk memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi dalam setiap pengalaman membeli-belah yang ditawarkan.
Senheng kekal komited untuk memberikan nilai terbaik kepada pelanggan dan pemegang sahamnya, sambil terus menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna serta keadaan pasaran yang sentiasa berubah.
