KUALA LUMPUR: Hibiscus Petroleum Bhd memulakan pembinaan loji fotovolta suria berkapasiti 12 megawatt-puncak (MWp) yang dipasang di atas tanah di Brunei, sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga kumpulan.
Syarikat itu hari ini mengadakan majlis pecah tanah di tapak seluas 10.52 hektar di Taman Perindustrian Sungai Liang, dengan ladang solar berkenaan dijangka membekalkan tenaga elektrik pertamanya menjelang akhir tahun ini.
Kemudahan itu akan membekalkan elektrik boleh diperbaharui secara eksklusif kepada pemampat tekanan rendah Hibiscus Petroleum di loji pemprosesan darat, yang akan bertindak sebagai satu-satunya penerima bekalan, menurut kenyataan syarikat hari ini.
Hibiscus Petroleum menjangkakan projek itu akan menjana aliran tunai yang stabil, menyokong pulangan jangka panjang yang boleh diramal serta mengurangkan pelepasan operasi di samping meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga.
Syarikat itu berkata, projek berkenaan selaras dengan sasaran Brunei untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang menjelang 2035, dan melengkapi usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan keamatan pelepasan.
Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Datuk Kenneth Pereira, berkata projek itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam membina campuran tenaga yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan, selaras dengan strategi kumpulan 2030 untuk mempelbagaikan aset peralihan tenaga.
Beliau menambah bahawa pembangunan ini juga mengukuhkan peranan Brunei sebagai hab pertumbuhan utama bagi kumpulan tersebut serta menyediakan asas untuk pengembangan selanjutnya dalam penjanaan tenaga.
