KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan perlantikan Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Beliau menggantikan Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2026 selepas berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sejak Mac 2024, menurut TNB dalam satu kenyataan.
Shamsul pada masa kini memegang jawatan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh di TNB, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kawal selia industri serta memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan bagi menyokong aspirasi jangka panjang TNB.
Dengan lebih 37 tahun perkhidmatan di TNB, beliau membawa pengalaman kepimpinan yang luas merangkumi pelbagai portfolio.
Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Urusan TNB Fuel Sdn Bhd dan pernah juga menerajui TNB Janamanjung Sdn Bhd selama sedekad.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari North Carolina A&T State University, Amerika Syarikat (AS) serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Tenaga Nasional.
Sementara itu, Lembaga Pengarah TNB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Megat Jalaluddin atas kepimpinan dan sumbangannya dalam memperkukuh kecemerlangan operasi, daya tahan kewangan serta penciptaan nilai jangka panjang syarikat.
Di bawah kepimpinan beliau, TNB memperkukuh asas terasnya dan mempercepat agenda Peralihan Tenaga bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Lembaga Pengarah mengucapkan tahniah kepada Shamsul atas pelantikan itu dan yakin bahawa pengetahuan institusi yang mendalam, kepakaran kawal selia serta pengalaman operasi beliau akan memastikan kesinambungan kepimpinan, memacu transformasi dan terus memperkukuh peranan TNB sebagai peneraju tenaga nasional serta penyedia utama penyelesaian tenaga mampan di peringkat domestik dan antarabangsa.
