SGB, DKSH edar vaksin CanSino di kawasan pedalaman

BeritaHarian Wed, Sep 01, 2021 04:33pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Solution Group Bhd (SGB) dan DKSH Holdings (Malaysia) Bhd (DKSH Malaysia) bekerjasama membantu mempercepatkan kadar vaksinasi menerusi pembelian pelalian satu dos, CanSino di kawasan pedalaman di negara ini.

DKSH Malaysia dilantik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengendalikan aspek logistik dan pengedaran CanSino yang dikenali sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Convidecia di Malaysia.

Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO), anak syarikat milik penuh SGB pula adalah pengedar dan pengeluar eksklusif CanSino di ASEAN, juga bercadang untuk bekerjasama dengan DKSH Malaysia untuk membekalkan Convidecia kepada sektor swasta selepas mendapat kelulusan kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Barry Lim, berkata syarikat itu bekerjasama dengan DKSH Malaysia untuk menawarkan dos vaksin di pusat pemberian vaksin dikendalikan KKM dengan lebih cekap, selain memastikan pengendalian pelalian dibuat dengan cara selamat dan terjamin.

"Lebih banyak dos vaksin tersedia tidak lama lagi selepas kami mendapat bekalan dari CanSino Biologics Inc dalam bentuk dos lengkap dan pukal bahan farmaseutikal aktif (API).

"Kami menjangkakan dapat membekalkan vaksin kepada sektor swasta selepas bekalan CanSino kepada kerajaan lengkap," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan DKSH Malaysia, Gary Chee, berkata syarikat itu memiliki rangkaian logistik dan pengalaman dalam menawarkan perkhidmatan penyejukan yang boleh dipercayai dan selamat pada suhu yang diperlukan untuk menyimpan Convidecia.

"Pusat pengedaran penjagaan kesihatan yang diperakui ISO di Shah Alam, Selangor, mempunyai infrastruktur yang ada untuk menyimpan vaksin dengan selamat sebelum dipindahkan ke pelbagai pusat vaksinasi di seluruh negara.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan SGB untuk penyediaan vaksin ke sektor swasta. Infrastruktur logistik kami mempunyai keupayaan untuk memastikan pemindahan dos vaksin dengan lancar dan efisien di seluruh negara," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

DKSH 5.280
SOLUTN 0.205

Comments

Login to comment.