YB Ventures kembali beroperasi pada kapasiti 80 peratus

BeritaHarian Mon, Sep 20, 2021 09:05pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Pengeluar jubin, YB Ventures Bhd menyambung semula operasi pengeluarannya di Kulai, Johor, selepas 600 pekerja operasi tempatan dan asing telah divaksin sepenuhnya.

Pengarah Eksekutif Datuk Au Yee Boon berkata kumpulan telah dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti 80 peratus dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada kapasiti 100 peratus selepas sebahagian pekerja operasinya dibebaskan daripada kuarantin dan selesai menerima dos kedua vaksin mereka.

"Menyambung semula aktiviti perniagaan kami membolehkan keadaan kembali normal, menempatkan kami di landasan yang betul untuk lebih maju pada masa depan dan melaksanakan peranan kami dalam membantu meningkatkan pemulihan ekonomi negara.

"Keutamaan kami adalah memenuhi tunggakan pesanan yang meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan Penuh, yang bermula pada 1 Jun, 2021," katanya.

Menurut YB Ventures, pihaknya kini mempunyai tunggakan pesanan yang perlu dipenuhi dalam masa tiga bulan dan pasukannya bersedia untuk melaksanakan sepenuhnya penghantaran selepas tiga bulan operasi ditangguhkan.

Au berkata beliau optimis bahawa sektor hartanah, pembinaan dan bahan binaan akan pulih secara berperingkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi positif yang dijangka pada 2022.

"Menjelang suku keempat 2021, kami menyaksikan permintaan meningkat untuk hartanah, program pemberian vaksin yang berkesan dan kadar faedah rendah.

"Semua ini dilihat mampu meningkatkan perniagaan yang terjejas sejak tahun lepas," kata Au.

Kumpulan itu, yang turut menawarkan penyelesaian teknologi maklumat, menjelaskan bahawa ia menanggung keseluruhan kos vaksinasi. – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

YB 0.245

Comments

Login to comment.