Sarung tangan lonjak pendapatan AT
KUALA LUMPUR: Pendapatan AT Systematization Bhd (AT), pereka dan pengilang bersepadu sistem automasi industri bersepadu dan penyelesaian kejuruteraan ketepatan serta pengeluar sarung tangan melonjak 173.3 peratus kepada RM20.66 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2021.
Peningkatan pendapatan bagi suku dikaji disumbangkan oleh bahagian sarung tangan yang menyumbang RM13.26 juta atau 64.2 peratus kepada keseluruhan pendapatan, manakala bahagian fabrikasi menyumbang RM6.06 juta (29.3 peratus) dan baki disumbangkan bahagian logam lembaran dan automasi berjumlah RM1.15 juta atau 5.6 peratus.
Pendapatan lebih baik yang diraih AT menyaksikan untung sebelum cukainya melonjak tiga kali ganda kepada RM360,000, sebahagian besar disumbangkan oleh bahagian sarung tangan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2021, pendapatan syarikat menokok empat kali ganda kepada RM48.96 juta daripada RM12.61 juta yang diraih tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Pengarah Urusan AT, Choong Lee Aun, berkata langkah kepelbagaian perniagaan syarikat yang menyokong kemampanan perniagaan membuahkan hasil walaupun dalam persekitaran perniagaan mencabar akibat pandemik COVID-19.
"Kami gembira dengan kemajuan yang dicapai terutama dalam pembuatan sarung tangan, yang kini memberi kesan positif terhadap prestasi kewangan.
"Walaupun bahagian fabrikasi dan automasi merekodkan kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah dan kos bahan mentah lebih tinggi dan caj sub-kontraktor, tetapi kami mengambil langkah untuk menangani isu ini dengan memberi tumpuan kepada kecekapan operasi untuk mengurangkan kos serta mengekalkan pertumbuhan.
"Syarikat memiliki RM18.73 juta pendapatan belum diaudit setakat ini dan dengan kontrak tertunggak kira-kira RM15.06 juta, kami menjangkakan pendapatan tahunan daripada daripada segmen ini bertambah baik untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022," katanya dalam satu kenyataan.
AT secara agresif meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam bahagian sarung tangan untuk menguasai lebih banyak perniagaan.
Baru-baru ini, ia memuktamadkan pemerolehan beberapa plot perindustrian di Kamunting, Perak untuk menampung lebih 50 barisan pengeluaran yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya.
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Related Stocks
| ERDASAN | 0.075 |
Comments