Rundingan MR DIY, pembekal pastikan harga produk rendah
KUALA LUMPUR: MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) mengadakan rundingan bersama pembekal untuk meningkatkan jumlah inventori pembelian dan menurunkan harga setiap produk dalam usahanya menangani peningkatan kos operasi pada masa ini.
Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Muhammad Afif Zukaplly, berkata langkah itu perlu diambil selain memanfaatkan keupayaan analisis data untuk sentiasa mengoptimumkan tawaran produknya.
"Kami juga tidak menolak kemungkinan syarikat itu akan memindahkan kos tambahan kepada pengguna akhir, iaitu dengan menaikkan harga produknya.
"Walaupun dengan kenaikan harga, MR DIY mungkin masih dapat menetapkan harga produknya dengan agak murah berbanding pesaing. Ini kerana, ia mempunyai rangkaian kedai yang luas serta akses terus kepada pembekal yang boleh mengurangkan kesan ke atas urus niaga," katanya dalam satu nota penyelidikan.
MR DIY merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM134.6 juta pada suku keempat 2021, meningkat 49 peratus bulan ke bulan atau 24 peratus secara tahunan.
Mengulas lanjut, Muhammad Afif, berkata MR DIY juga akan terus memanfaatkan pembukaan kedai baharu bagi meningkatkan pertumbuhan, walaupun selepas pembukaan semula ekonomi.
Katanya, strategi itu ternyata membuahkan hasil kerana rekod prestasi MR DIY sebelum ini terbukti berkesan dan menjana pendapatan yang lebih stabil.
"Kami mengunjurkan MR DIY akan terus membuka rangkaian kedai baharu jenama di bawahnya seperti MR TOY dan MR DOLLAR walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
"Daripada 180 kedai baharu yang disasarkan untuk 2022, antara 20 hingga 30 kedai akan menjadi MR DOLLAR dan MR TOY, manakala bakinya dijangka menjadi MR DIY dengan 90 peratus akan menjadi kedai utama MR DIY dan 10 peratus akan berada di MR DIY Express," katanya.
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Related Stocks
| MRDIY | 1.700 |
Comments