Infineon labur RM9.5 bilion tingkat kapasiti kilang di Kulim

BeritaHarian Thu, Feb 17, 2022 07:51pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Pembuat cip Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) sedang mengukuhkan pasarannya dalam semikonduktor dengan menambah kapasiti pengeluaran dalam semikonduktor 'wide bandgap' dan melabur lebih daripada dua bilion euro (RM9.5 bilion) untuk membina modul ketiga di kilangnya di Kulim, Kedah.

Syarikat itu berkata, apabila lengkap sepenuhnya, modul baharu itu akan menjana pendapatan tahunan tambahan sebanyak dua bilion euro (RM9.5 biliob) dengan produk berasaskan silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN).

Ketua Pegawai Operasi Infineon, Jochen Hanebeck berkata pengembangan itu sejajar dengan strategi pembuatan jangka panjang syarikat, ia akan mendapat manfaat daripada skala ekonomi yang sudah pun tercapai untuk pembuatan produk berukuran 200 milimeter itu di Kulim.

Ia akan melengkapkan kedudukan Infineon dalam silikon berdasarkan produk berukuran 300 milimeter di Villach di Austria dan Dresden di Jerman.

"Perluasan kapasiti SiC dan GaN kami adalah bagi Infineon untuk mempercepatkan pasaran 'wide bandgap'. Kami sedang mencipta kombinasi terbaik terhadap pusat kecekapan pembangunan di Villach dan pengeluaran kos efektif di Kulim untuk semikonduktor itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Apabila siap kelak, Kulim 3 akan mencipta 900 peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembinaan itu akan dimulakan pada bulan Jun dengan fabrikasi itu dijangka siap untuk peralatan berkenaan pada 2024.

"Wafer fabrikasi pertama akan dihasilkan pada separuh kedua 2024. Pelaburan di Kulim akan terdiri daripada langkah nilai tambah yang ketara," kata syarikat itu.

Sementara itu, Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus bekerjasama rapat dengan pelabur strategik untuk mengukuhkan keunggulan Malaysia sebagai hab semikonduktor utama di rantau ini.

"Malaysia adalah salah satu hab serantau utama Infineon dan pelaburan ini benar-benar membuktikan ekosistem kondusif kami dan keupayaan bakat tempatan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang," katanya.

Infineon sudah menyediakan produk berasaskan SiC kepada lebih 3,000 pelanggan pada masa ini.

Syarikat itu menyasarkan hasil sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dengan semikonduktor berasaskan SiC menjelang pertengahan dekad.

Pasaran GaN juga dijangka akan mengalami pertumbuhan besar-besaran daripada AS$47 juta (RM197 juta) pada 2020 kepada AS$801 juta (RM3.3 bilion) pada 2025.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.