Pemberian e-tunai bantu rakyat hadapi ekonomi digital

HarianMetro Thu, Jul 27, 2023 02:54pm - 2 years View Original


Shah Alam: Pemberian kredit e-tunai RM100 kepada lebih 10 juta rakyat berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat berdepan dengan ekonomi digital dan tanpa tunai pada masa depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun beliau berkata, kira-kira 30 peratus daripada jumlah penerima e-tunai tersebut kemungkinan akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan itu kerana tidak mempunyai akses kepada sistem berkenaan.

"Jadi kita minta supaya para pemimpin setempat berusaha untuk membantu semua golongan mendapatkan e-tunai itu, sebagai contoh ketua kampung dan penghulu, untuk mengajar rakyat yang tidak begitu celik dengan teknologi, kerana ini satu proses (pembelajaran)," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Erbe, CTOS dan CelcomDigi, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Anwar berkata bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta orang iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion.

Ahmad berkata inisiatif pemberian kredit e-tunai itu diharapkan dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat selain bertujuan untuk mendidik rakyat mengenai ekonomi digitalisasi dan memupuk budaya masyarakat tanpa tunai.

Dalam pada itu beliau berkata Kementerian Kewangan juga bersedia untuk melaksana segera pemberian e-tunai tersebut dan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bantuan RM200 kepada pesara kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

CDB 3.260

Comments

Login to comment.