Solid Automotive jual tanah RM48 juta di JB

BeritaHarian Fri, Sep 15, 2023 09:53pm - 7 months View Original


KUALA LUMPUR: Solid Automotive Bhd akan menjual tanah di Johor Bahru, Johor, pada harga RM48 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Solid Autotech Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Ferrotec Power Semiconductor Malaysia Sdn Bhd yang membabitkan penjualan tanah berkeluasan 4.04 hektar tersebut.

Solid Automotive terbabit dalam bidang perdagangan dan pengedaran bahagian serta komponen automotif bagi kenderaan penumpang dan komersial di Malaysia dan Singapura.

"Cadangan penjualan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk merealisasikan dan memanfaatkan nilai pelaburannya dalam hartanah berkenaan di atas pertimbangan mewakili premium RM5 juta atau kira-kira 11.63 peratus kepada nilai pasaran hartanah sebanyak RM43 juta yang dinyatakan oleh jurunilai.

"Kumpulan juga seterusnya diunjurkan dapat merealisasikan keuntungan bersih pro forma daripada cadangan pelupusan yang dianggarkan RM34.23 juta," katanya.

Kumpulan berkenaan dijangka dapat mengumpulkan hasil tunai kira-kira RM48 juta daripada cadangan berkenaan yang akan dimanfaatkan bagi tujuan peluang perniagaan/pelaburan (RM20.50 juta), perbelanjaan modal (RM20.50 juta), modal kerja (RM4.20 juta) dan jangkaan perbelanjaan berkaitan dengan cadangan penjualan atau pelupusan itu (RM2.80 juta).

Cadangan tersebut dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama 2024 dan diunjur menyumbang secara positif ke atas pendapatan serta perolehan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan 2024.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.580
SOLID 0.185

Comments

Login to comment.