KNM terima dua tawaran beli FBM Hudson

BeritaHarian Sun, Feb 18, 2024 12:28pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: KNM Group Bhd menerima dua 'tawaran mengikat dan tidak boleh ditarik balik' untuk cadangan pelupusan keseluruhan pegangan KNM Europa BV dalam FBM Hudson Italiana SpA (FBM Hudson) dengan jumlah 'pertimbangan indikatif' sehingga 16.5 juta euro (RM84.9 juta).

KNM Europa ialah anak syarikat milik penuh KNM Process Systems Sdn Bhd, yang seterusnya adalah anak syarikat milik penuh KNM Group.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, tawaran pertama adalah oleh BM Carpenterie Oil & Gas S.R.L yang berpangkalan di Milan untuk pengambilalihan 60 peratus pegangan ekuiti dalam FBM Hudson dengan pertimbangan indikatif sehingga 9.9 juta euro (RM51 juta).

Selain itu, Officine Piccoli S.p.A yang berpangkalan di Verona menawarkan untuk mengambil alih 40 peratus pegangan ekuiti dalam FBM Hudson dengan pertimbangan indikatif sehingga 6.6 juta euro (RM34 juta).

Pada November tahun lalu, dilaporkan bahawa kerajaan Itali telah menolak cadangan pelupusan FBM Hudson kepada Petro Mat FZCO yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), justeru perjanjian itu ditamatkan.

FBM Hudson terbabit terutamanya dalam reka bentuk dan pembuatan penukar haba dan peralatan tekanan tinggi untuk perniagaan minyak dan gas, penapisan minyak, petrokimia, kimia, kuasa dan baja.

KNM berkata, bakal pembeli boleh menjalankan usaha wajar ke atas perniagaan dan operasi FBM Hudson yang akan disiapkan dalam tempoh 15 hari perniagaan dari tarikh penerimaan tawaran.

Katanya, ia menyasarkan untuk menandatangani perjanjian jual beli dalam tempoh dua bulan dari penerimaan tawaran oleh KNM Europa yang kini ditetapkan selewat-lewatnya pada 30 April 2024.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.680
KNM 0.070

Comments

Login to comment.