Dagangan saham Feytech bermula cemerlang di Bursa Malaysia

BeritaHarian Tue, May 21, 2024 09:32pm - 3 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Pengeluar tempat duduk automotif, Feytech Holdings Bhd mula disenaraikan dengan kukuh di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.10 sesaham, mewakili premium sebanyak 37.5 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 80 sen.

Pada 9.05 pagi, terdapat 24.54 juta saham diniagakan.

Feytech terlibat dalam pembuatan tempat duduk automotif, sarung tempat duduk automotif dan bahagian dalaman seperti hiasan pintu, stereng, tombol gear, pemegang brek tangan dan konsol.

Syarikat itu berjaya meraih sejumlah RM114.66 juta melalui terbitan awam sebanyak 143.32 juta saham biasa baharu.

Daripada jumlah kasar ini, sebanyak RM11.6 juta (10.1 peratus) akan digunakan untuk membeli tanah dan RM21.13 juta (18.4 peratus) untuk membina pejabat korporat baharu dengan kilang pembuatan dan gudang.

Ia akan menyalurkan RM18.76 juta (16.4 peratus) untuk membina kilang pembuatan baharu dan 45.5 peratus atau RM52.18 juta untuk modal kerja.

Baki hasil sebanyak RM3 juta dan RM8 juta, masing-masing diperuntukkan untuk pembelian jentera baharu dan perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif, Connie Go, berkata Feytech giat bekerjasama dengan pelanggan baharu dan sedia ada untuk mengembangkan bahagian pasaran dan pendapatannya.

Ia cuba untuk mendapatkan projek baharu untuk tempat duduk dan sarungnya bagi meningkatkan bahagian pasaran dan pendapatan, katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu hari ini.

Mengenai isu kekurangan tenaga kerja, Go berkata kilang di Kulim akan memberi keutamaan kepada pengambilan pekerja tempatan.

"Di kilang di Kulim, kami mempunyai lebih 20 pekerja asing dan selebihnya warga tempatan. Pada masa depan, kilang 2 dan 3 di Kulim juga akan memberi tumpuan kepada pengambilan pekerja tempatan," katanya.

Tenaga kerja semasa Feytech termasuklah 203 pekerja tempatan dan 380 pekerja asing.

Mengenai rasionalisasi subsidi bahan api, Go berkata langkah itu akan memberi impak kepada pasaran automotif dalam beberapa cara.

"Bagaimanapun, dasar kerajaan adalah di luar kawalan kami. Apa yang boleh kami lakukan ialah mengurus kos, memberikan perkhidmatan berkualiti dan meneroka pasaran yang lebih luas," katanya.

Mengenai prospek, Go berkata pasaran tempat duduk dan sarung automotif adalah menggalakkan berdasarkan jangkaan pertumbuhan jangka panjang.

"Oleh itu, prospek syarikat juga akan disokong oleh jualan pelanggan, kedudukan yang kompetitif dan strategi perniagaan," katanya.

Saham Feytech ditutup tidak berubah daripada harga pembukaan RM1.10 dengan 135.11 juta unit diniagakan pada hari pertama dagangannya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.830
FEYTECH 1.140

Comments

Login to comment.