Untung Cropmate melonjak 21.3 peratus didorong permintaan baja

BeritaHarian Thu, Nov 20, 2025 05:58pm - 3 months View Original


KUALA LUMPUR: Cropmate Bhd mengumumkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 dengan lonjakan keuntungan yang ketara.

Syarikat itu mencatatkan pertumbuhan positif didorong oleh permintaan mampan dalam sektor pertanian negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama industri.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan ia berkata, bagi tempoh tinjauan, Cropmate merekodkan hasil sebanyak RM60.9 juta, mencerminkan peningkatan 33.0 peratus berbanding suku sebelumnya yang mencatatkan RM45.7 juta. Untung Sebelum Cukai (PBT) turut meningkat sebanyak 21.3 peratus kepada RM5.6 juta apabila jumlah jualan yang lebih tinggi berjaya diterjemahkan kepada keuntungan lebih baik.

Prestasi kukuh itu disokong terutamanya oleh jumlah jualan baja yang lebih tinggi serta permintaan stabil daripada pemain pertanian domestik. Margin keuntungan kasar kekal stabil pada 15.4 peratus, membuktikan struktur kos yang terkawal serta pengurusan campuran produk yang berdisiplin oleh pihak pengurusan.

Berasaskan perbandingan tahun ke tahun, pendapatan meningkat 34.2 peratus daripada RM45.3 juta pada tempoh sama tahun lalu kepada RM60.9 juta. PBT juga berkembang 16.0 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh jualan lebih tinggi dan prestasi operasi konsisten syarikat berkenaan.

Pasaran tempatan kekal sebagai penyumbang utama hasil, merangkumi 95.3 peratus daripada jumlah pendapatan bagi suku itu, menunjukkan penguasaan pasaran yang kuat. Namun, Cropmate turut menerima permintaan eksport stabil dari negara luar termasuk Singapura, Sri Lanka, Mauritius, Vietnam, Indonesia dan Jepun.

Pengarah Urusan Cropmate Bhd, Lee Chin Yok, berkata permintaan baja dijangka terus menjejaki perkembangan sektor pertanian yang lebih luas pada masa hadapan. Beliau menegaskan tumpuan khusus akan diberikan kepada pengeluaran kelapa sawit serta ladang durian yang kini semakin berkembang pesat dan menjadi pemacu permintaan.

"Walaupun risiko luaran seperti pergerakan harga komoditi dan ketidakpastian geopolitik mungkin mempengaruhi sentimen penanam, kami tetap optimis dengan pendekatan berhati-hati," katanya. Pelaburan modal berterusan syarikat itu kini sejajar dengan usaha pengukuhan skala operasi, liputan pasaran dan inovasi produk.

Sebagai syarikat pengeluar baja sejati pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, Cropmate terus memantau penggunaan dana awam secara telus demi pertumbuhan jangka panjang. Setakat 30 September 2025, syarikat itu telah menggunakan RM24.3 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM42.0 juta.

Dana berkenaan disalurkan sebahagian besarnya untuk modal kerja, perbelanjaan modal serta menampung kos penyenaraian. Sebahagian dana juga digunakan bagi pembiayaan separa untuk cadangan pengambilalihan Lot Kilang 8949 dan 8950 bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran.

Selain itu, syarikat itu sedang meneruskan cadangan pelupusan Lot 51 sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula aset korporatnya. Ketiga-tiga proses korporat ini sedang berjalan dan menunggu penyelesaian penuh bagi memantapkan lagi kedudukan kewangan serta operasi syarikat itu.

Ditubuhkan pada 2018, Cropmate adalah pemain industri yang mengkhusus dalam perumusan dan pengadunan baja konvensional serta khusus. Syarikat itu menawarkan pelbagai produk inovatif termasuk baja padat, campuran, separa organik, dan cecair yang direka untuk meningkatkan hasil serta kualiti tanaman.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.830
CRPMATE 0.175

Comments

Login to comment.