KUALA LUMPUR: Muhibbah Engineering (M) Bhd menerima kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS untuk penyediaan kerja-kerja kejuruteraan kecil, perolehan dan pembinaan (ePC) di Terengganu.
Kontrak itu melibatkan pembinaan pelantar kepala telaga di bawah Projek Pembangunan Semula Bersepadu Sepat, terletak di luar pesisir timur laut Kuala Terengganu.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, nilai kontrak dianggarkan kira-kira RM700 juta hingga RM850 juta.
"Kontrak itu dijadualkan bermula pada Disember, 2025 dan dijangka siap pada suku pertama 2029," katanya.
Mengenai kesan kewangan, Muhibbah berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan dalam tempoh kontrak dan tahun kewangan berikutnya.
"Kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan/atau struktur pegangan saham syarikat," katanya.
Syarikat itu berkata, kontrak itu termasuk dalam skop perniagaan biasa kumpulan dan tidak mendedahkannya kepada risiko baharu melebihi risiko yang biasanya dikaitkan dengan operasinya termasuk perubahan ekonomi dan kawal selia, kekangan tenaga kerja dan turun naik dalam harga material dan mata wang asing.
"Lembaga Pengarah, selepas mempertimbangkan semua faktor yang berkaitan berpendapat kontrak itu adalah untuk kepentingan terbaik Kumpulan Muhibbah," katanya.
-BERNAMA
