Kuala Lumpur: Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) kini memperluas ekosistem digitalnya menerusi kerjasama strategik bersama aplikasi TheNoor dan Touch 'n Go bagi memudahkan umat Islam melaksanakan kewajipan membayar fidyah.
Langkah ini bertujuan memberi akses lebih luas kepada pengguna melalui platform digital yang digunakan secara meluas, sekali gus memastikan proses pembayaran fidyah menjadi lebih pantas dan efisien.
Menerusi kolaborasi ini, ikhlas.com bertindak sebagai platform pemudah cara yang menyokong pengurusan serta pelaksanaan pengagihan fidyah secara terancang dan patuh syariah.
Setiap bayaran yang diterima melalui TheNoor atau Touch 'n Go akan diselaraskan di bawah program fidyah ikhlas.com bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, fokus utama syarikat adalah untuk memudahkan pelaksanaan kewajipan agama tanpa membebankan pengguna di era digital ini.
"Melalui kerjasama dengan pelbagai platform digital, kami dapat memperluas capaian dan kemudahan bagi memastikan sumbangan fidyah diurus serta dilaksanakan secara tersusun dan bertanggungjawab," katanya pada majlis Pengagihan Beras Fidyah "Amanah Fidyah: Sekampit Beras, Seribu Makna" di sini semalam.
Inisiatif ini sekali gus memperkukuh peranan ikhlas.com sebagai platform digital di bawah Capital A yang menawarkan penyelesaian umrah dan perjalanan mesra Muslim serta perkhidmatan patuh syariah yang lain.
Dalam program itu, sebanyak 200 keluarga asnaf di sekitar zon Lembah Jaya menerima sumbangan beras fidyah, membuktikan impak nyata daripada peluasan akses pembayaran digital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Noor Neelofa berkata, platformnya sentiasa berusaha mengintegrasikan ibadah, ilmu, dan impak sosial dalam satu ekosistem yang menyeluruh.
Menurutnya, TheNoor komited memudahkan ibadah harian melalui teknologi dan kini sedang bersedia untuk memperkenalkan 'TheNoor Pro' bagi menawarkan perkhidmatan Islamik digital premium.