Bursa Malaysia dijangka diniaga berhati-hati minggu ini

BeritaHarian Mon, Mar 16, 2026 05:26pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan global apabila pelabur memantau perkembangan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran serta pergerakan harga tenaga global, menurut Apex Securities Bhd.

Firma pembrokeran saham itu dalam nota penyelidikannya berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang ditutup pada 1,698.51 minggu lalu dijangka kekal sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan arah aliran pasaran serantau.

"Pelabur juga akan menumpukan perhatian kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 18 Mac bagi mendapatkan petunjuk dasar seterusnya," katanya.

Apex Securities berkata sektor berorientasikan eksport kekal menjadi pilihan dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan serta ketidaktentuan mata wang.

"Harga minyak yang lebih tinggi boleh menyokong sektor tenaga dan perladangan, manakala pelaburan hasil defensif seperti amanah pelaburan hartanah dan utiliti kekal menarik apabila pelabur mencari kestabilan dalam persekitaran yang tidak menentu," katanya.

Menurutnya, FBM KLCI terus diniagakan di atas garisan trend menaik semasa, menandakan struktur kenaikan yang lebih luas masih kukuh buat masa ini.

"Selagi indeks kekal di atas zon sokongan 1,685 hingga 1,690, aliran menaik semasa mungkin kekal utuh. Penembusan ketara di bawah paras ini akan melemahkan struktur teknikal dan berpotensi menandakan fasa pembetulan yang lebih meluas," katanya.

Apex Securities berkata harga minyak mentah Brent crude oil meneruskan kenaikan minggu lalu dengan meningkat 2.10 peratus kepada AS$103.89 setong selepas Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan serangan ke atas aset ketenteraan Iran di Pulau Kharg pada Jumaat lalu.

Walaupun serangan itu dilaporkan tidak menjejaskan infrastruktur minyak, Trump memberi amaran bahawa AS boleh menyasarkan kemudahan minyak mentah di pulau berkenaan sekiranya Iran terus menyekat Selat Hormuz yang berkedudukan strategik. Langkah itu berpotensi mencetuskan tindak balas lebih keras daripada Tehran dan mengekalkan harga minyak pada paras tinggi.

Lonjakan harga minyak turut meningkatkan kebimbangan di Wall Street mengenai kemungkinan berlakunya persekitaran stagflasi, iaitu keadaan dicirikan oleh inflasi meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Keadaan itu mendorong pelabur mengurangkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), dengan pasaran kini menjangkakan hanya satu penurunan kadar faedah berpotensi berlaku pada Disember, menurut Apex Securities.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.430
FBMKLCI 1683.260

Comments

来都来了
Like · Reply
buat APA hati ..pump jk

Login to comment.