Saham Yenher susut bawah harga IPO

BeritaHarian Thu, Jul 15, 2021 12:46pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Yenher Holdings Bhd memulakan dagangan sulungnya di Bursa Malaysia dengan prestasi kurang memberangsangkan apabila harganya sahamnya jatuh 1.58 peratus kepada 93.5 sen daripada harga tawarannya, 95 sen setakat tengah hari ini.

Saham kumpulan itu yang terbabit terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran produk kesihatan dan pemakanan nutrisi haiwan bermula dengan baik apabila mencatat premium 4.5 sen atau 4.74 peratus kepada 99.5 sen ketika dibuka jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak mampu bertahan lama apabila sahamnya menyusut beberapa minit selepas itu ke paras 94 sen.

Malah, ia pernah menguncup ke paras terendah pada 87.5 sen pada jam 9.30 pagi sebelum kembali melantun naik ke paras 93.5 sen setakat jam 12.30 tengah hari ini.

Pada pembukaan dagangannya di Pasaran Utama, sebanyak 11.58 juta saham bertukar tangan.

Penyenaraian itu membolehkan Yenher meraih RM61.21 juta dengan RM31 juta daripada perolehan kasar akan digunakan untuk pembinaan kilang pembuatan baharu dengan pematuhan Amalan Pengilangan Baik (GMP); RM9.7 juta untuk pembelian mesin dan peralatan baharu; RM16 .71 juta untuk tujuan modal kerja dan selebihnya RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Cheng Mooh Tat, berkata langkah penyenaraian itu telah memberi peluang kepada kumpulan untuk mendapatkan akses yang lebih baik ke pasaran modal untuk pengembangan perniagaan syarikat.

Katanya, melangkah ke hadapan, kumpulan akan terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran domestik dengan memanfaatkan pertumbuhan industri kesihatan dan pemakanan nutrisi haiwan tempatan.

"Selain itu kami juga berhasrat untuk menerokai pasaran baharu untuk memperluas jejak global kami, serta terus menjalankan penyelidikan, pembangunan dan memperkenalkan produk baharu untuk menguatkan portfolio produk kami.

"Kami bercadang mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keuntungan tahunan yang diaudit kepada pemegang saham kami dan ini membolehkan mereka mengambil bahagian dalam keuntungan kumpulan di samping memperuntukkan simpanan yang mencukupi untuk pertumbuhan masa depan," katanya pada majlis penyenaraian syarikat yang diadakan secara maya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Kewangannya, Lim Sek Yang berkata, tujuan utama penyenaraian itu adalah untuk mengumpulkan dana bagi membina kilang pembuatan memenuhi pematuhan Amalan Pembuatan Baik (GMP) yang baharu selain membeli mesin dan peralatan.

"Kira-kira 60 peratus daripada hasil akan digunakan untuk kilang baharu dan ini akan membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mempersiapkan kami untuk meneroka pasaran baharu," katanya.

Pada masa ini, Yenher mengeksport ke Indonesia, Hong Kong, Brunei, Belgium, Pakistan, Korea Selatan, Nigeria, Thailand dan Vietnam, yang menguasai kira-kira 10 peratus daripada jumlah jualan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.950
YENHER 0.885

Comments

Login to comment.