Pelabur asing terus beli saham tempatan

BeritaHarian Mon, Nov 01, 2021 11:47am - 4 years View Original


KUALA LUMPUR: Pembelian ekuiti tempatan oleh pelabur asing berterusan untuk minggu keempat berturut-turut, tetapi pada kadar yang lebih perlahan dengan sebanyak RM1.44 juta dicatatkan minggu lalu berbanding RM587.61 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Dalam Laporan Strategi, ia berkata jumlah bersih adalah aliran masuk paling rendah dalam tempoh berkenaan.

"Semasa pasaran dibuka semula untuk urus niaga pada Isnin lalu, institusi dan peruncit tempatan masing-masing adalah penjual bersih dan pembeli bersih, dengan kedua-duanya mencatatkan aliran keluar RM89.27 juta dan aliran masuk RM36.41 juta.

"Sementara itu, pelabur asing adalah pembeli bersih dengan nilai RM52.86 juta," kata MIDF Research.

Ia berkata, walaupun aliran masuk bersih mingguan dicatatkan, pelabur asing adalah penjual bersih untuk sebahagian besar hari urus niaga minggu berkenaan.

Aliran masuk asing terbesar direkodkan pada hari Rabu berjumlah RM57.92 manakala aliran keluar terbesar pada Khamis RM52.63 juta.

Belian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada Khamis dan belian bersih paling sedikit ialah pada Isnin masing-masing berjumlah RM78.57 juta dan RM36.41 juta.

Bagi minggu itu, peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM308.31 juta di Bursa Malaysia.

"Sementara itu, institusi tempatan merekodkan jualan bersih terkumpul mingguan iaitu RM309.73 juta.

"Institusi tempatan muncul sebagai penjual bersih setiap hari pada minggu berkenaan dengan jualan bersih terbesar pada hari Rabu sebanyak RM132.17 juta, manakala aliran keluar bersih paling sedikit pada Jumaat berjumlah RM10.37 juta," katanya.

Sejak awal tahun 2021, institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing berjumlah RM8.53 bilion dan RM2.18 bilion, manakala peruncit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan nilai RM10.71 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing merekodkan pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -19 peratus, -21.96 peratus dan 26.34 peratus, dalam purata nilai dagangan harian (ADTV).

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.62 peratus minggu lalu, manakala pasaran serantau menyaksikan prestasi bercampur-campur.

Di Asia, pelabur asing menjadi penjual bersih minggu lalu, hanya seminggu sebelum pembelian bersih.

"Berdasarkan pada data agregat sementara untuk tujuh bursa Asia yang kami jejaki, aliran keluar bersih daripada pelabur yang diklasifikasikan sebagai 'asing' berada pada nilai ekuiti berjumlah kira-kira AS$2.59 bilion.

"Ini terutama didorong oleh aliran keluar dari India dan Korea Selatan," tambah MIDF Research.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.450

Comments

GARY CHAN
Like · Reply
buaya sikit sikit sampai

Login to comment.