WTK beli syarikat sawit Sarawak bernilai RM132.2 juta

BeritaHarian Fri, Aug 11, 2023 09:13pm - 9 months View Original


KUALA LUMPUR: WTK Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, BioFarm Venture Sdn Bhd memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Ocarina Development Sdn Bhd bagi memperoleh 9.8 juta saham biasa atau 70 peratus kepentingan dalam Durafarm Sdn Bhd pada harga tunai RM132.2 juta.

Kumpulan itu menyatakan Durafarm terbabit terutamanya dalam perniagaan penanaman serta pengurusan ladang kelapa sawit di Betong dan Sri Aman, Sarawak dengan pasaran utamanya semata-mata untuk penjualan tandan buah segar (FFB) di wilayah Sarawak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata pertimbangan pembelian yang perlu dibayar akan dipenuhi sepenuhnya melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman oleh WTK Group dan pinjaman bank dan/atau hasil yang akan diperoleh daripada terbitan sekuriti hutang.

Kumpulan itu berkata, WTK mempunyai kedudukan yang mantap dalam perniagaan penanaman kelapa sawit di Sarawak yang merangkumi aktiviti perladangan kelapa sawit huluan dan operasi kilang minyak sawit hiliran dan segmen perladangan dijangka kekal memacu pertumbuhan utama, berikutan pengambilalihan syarikat perladangan.

Apabila selesai pengambilalihan itu, kawasan penanaman kelapa sawit yang dimiliki oleh WTK akan meningkat daripada 16,428.50 hektar kepada 20,439.07 hektar mewakili peningkatan kira-kira 24.41 peratus atau 4,010.57 hektar, katanya.

Pengambilalihan itu juga selaras dengan strategi jangka panjang WTK untuk mengembangkan lagi perniagaan perladangan kelapa sawit dengan memperoleh bank tanah baharu bagi mendapatkan kedudukan yang lebih besar dalam industri minyak sawit di Malaysia, katanya.

"Ini akan mempercepatkan peralihan strategik untuk menjadi pemain perladangan yang lebih dominan dengan profil penyenaraian awam yang dipertingkatkan sambil mengurangkan pergantungan kepada perniagaan kayu balak.

"Perniagaan kayu balak terus menghadapi cabaran dengan pengeluaran balak dijangka perlahan berikutan bilangan kayu balak asli yang semakin berkurangan dan keperluan operasi yang lebih ketat berkaitan pensijilan kayu balak," tambahnya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.230
WTK 0.485

Comments

Login to comment.