Bursa Malaysia jatuh bersama pasaran serantau

BeritaHarian Thu, Sep 07, 2023 07:04pm - 7 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, sejajar dengan sentimen lemah di pasaran serantau, berikutan pelabur kekal berhati-hati terhadap prospek ekonomi yang lemah, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.55 mata untuk ditutup pada 1,460.07 daripada 1,460.62 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.64 mata lebih rendah pada 1,459.98 dan bergerak antara 1,458.27 dan 1,463.30 pada sesi berkenaan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 531 berbanding 386, dengan 458 kaunter tidak berubah, 932 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.21 bilion unit bernilai RM2.02 bilion berbanding 4.18 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Rabu.

Seorang peniaga berkata bahawa kebanyakan saham Asia berada dalam aliran menurun hari ini berikutan jualan besar-besaran di Wall Street dan ketika pelabur menilai data perdagangan dari China dan Australia.

"Import dan eksport China masing-masing jatuh 7.3 dan 8.8 peratus tahun ke tahun, kurang daripada penurunan 9.0 dan 9.2 peratus yang diramalkan oleh tinjauan ahli ekonomi oleh Reuters," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketiga-tiga indeks utama di Wall Street semalaman menyaksikan jualan besar-besaran berikutan peningkatan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin menaikkan kadar faedah pada masa hadapan.

Di peringkat tempatan, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan status quo pada kadar faedah selepas memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, keputusan sama yang diambil jawatankuasa itu buat kali ketiga berturut-turut.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa mengenai inflasi dan prospek pertumbuhan.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 1.0 sen kepada RM9.17, Tenaga Nasional turun 9.0 sen kepada RM9.87, Public Bank tidak berubah pada RM4.25 manakala CIMB naik 2.0 sen kepada RM5.74 dan Petronas Chemicals meningkat 5.0 sen kepada RM7.17.

Bagi saham aktif, Top Glove naik 5.5 sen kepada 84 sen, Aimflex meningkat 1.5 sen kepada 23 sen, manakala Classita susut setengah sen kepada 8.0 sen dan Ekovest turun 4.0 sen kepada 50.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 19.88 mata kepada 10,774.80, Indeks FBMT100 susut 15.18 mata kepada 10,447.10, Indeks FBM Emas Shariah merosot 16.56 mata kepada 10,950.04, Indeks FBM 70 turun 68.24 mata kepada 14,237.69 dan Indeks FBM ACE susut 41.35 mata kepada 5,188.57.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.33 mata kepada 16,472.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.34 mata susut kepada 173.12, dan Indeks Tenaga turun 0.54 mata kepada 864.49, manakala Indeks Perladangan menokok 39.99 mata kepada 6,898.95.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.30 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 3.04 bilion unit bernilai RM1.89 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran mengecil kepada 344.77 juta unit bernilai RM48.86 juta berbanding 398.38 juta unit bernilai RM54.07 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 560.47 juta saham bernilai RM159.50 juta daripada 745.89 juta saham bernilai RM183.28 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 503.85 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (405.09 juta); pembinaan (180.89 juta); teknologi (138.91 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (52.30 juta); hartanah (309.36 juta); perladangan (23.38 juta); REIT (11.31 juta), dana tertutup (36,300); tenaga (210.22 juta); penjagaan kesihatan (341.0 juta); telekomunikasi dan media (23.49 juta); pengangkutan dan logistik (36.26 juta); dan utiliti (65.19 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIMFLEX 0.155
BURSA 7.580
EKOVEST 0.445
FBMACE 5107.680
FBMEMAS 11896.090
FBMKLCI 1580.300
FBMSHA 12113.590
PBBANK 4.100
TENAGA 12.020

Comments

Login to comment.