Perniagaan CTOS tidak terkesan, berjalan seperti biasa

BeritaHarian Tue, Apr 16, 2024 03:16pm - 2 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Perniagaan CTOS Data Systems Sdn Bhd tidak tejejas dengan keputusan mahkamah terhadapnya baru-baru ini dan masih berjalan seperti biasa.

Ketua Pegawai Operasinya, Lee Shin Mei, berkata syarikat itu hanya mematuhi Akta Agensi Penerbitan Kredit 2010 (CRAA) dalam menjalankan perniagaan mereka.

"Perniagaan kami berjalan seperti biasa. Kami hanya mengikuti segala panduan yang digariskan dalam CRAA untuk menjalankan perniagaan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran kerjasama di antara CTOS dengan airasia academy bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Ekskeutif Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan CTOS untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Suriati Mohd Yusof yang memiliki sebuah resort di Pulau Perhentian atas penarafan kredit yang tidak tepat.

Mahkamah Tinggi pada ketika itu memutuskan bahawa CTOS tidak mempunyai kuasa untuk merumuskan skor kreditnya sendiri.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, agensi penarafan kredit itu hanya diberi kuasa untuk menjadi penyimpan maklumat kredit yang boleh diakses oleh pelanggannya.

Beliau memutuskan bahawa tiada peruntukan dalam CRAA yang memberikan kuasa kepada CTOS untuk merumuskan skor kredit atau mencipta kriteria atau peratus untuk merumuskan skor kreditnya sendiri.

Sementara itu, Shin Mei berkata, CROS menyasarkan 2,000 hingga 3,000 PKS akan menyertai program CTOS Verified menjelang akhir tahun ini menerusi kerjasama dengan airasia academy.

"Ketika ini, hanya 30 PKS yang mendaftar kerana kami baru memulakan program ini bulan lalu. Langkah strategik ini bertujuan untuk meluaskan jangkauan bagi memperkasakan lebih banyak perniagaan untuk berkembang maju dalam landskap dinamik era digital," katanya.

Tony pula berkata, beliau percaya terdapat model kos rendah untuk pendidikan sebagaimana kejayaannya membina model kos rendah AirAsia selama lebih 20 tahun.

"Pendidikan mampu menjadi pintu masuk untuk membuka peluang tanpa had. Sejak penubuhannya, airasia academy bekerja tanpa jemu untuk mendemokrasikan pendidikan, menawarkan kursus dalam talian dan bersemuka yang boleh diakses yang merapatkan jurang keperluan ekonomi digital," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

CAPITALA 0.820
CTOS 1.420

Comments

Login to comment.