Parlimen tergantung, sentimen pasaran kekal suram

HarianMetro Mon, Nov 21, 2022 11:59am - 1 year View Original


Kuala Lumpur: Para pelabur di pasaran saham tempatan menjual saham masing-masing dalam dagangan awal pagi ini ketika Malaysia berhadapan situasi parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas..

Pada 9.13 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 17.78 mata atau 1.23 peratus, kepada 1,431.54 daripada 1,449.32 penutup Khamis.

Pasaran dibuka 14.77 mata lebih rendah pada 1,434.55.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mendahului untung 470 berbalas 74, manakala 163 kaunter tidak berubah, 1,625 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 521.08 juta unit bernilai RM277.3 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur dijangka kekal berhati-hati sementara menunggu keputusan akhir rundingan antara pelbagai parti politik pada sebelah petang.

"Sentimen pasaran juga diunjurkan kekal suram dan didagangkan secara negatif sebelum penyerahan nama calon Perdana Menteri kepada Istana Negara pada 2 petang hari ini," katanya dalam nota hari ini.

Sektor yang mempunyai asas yang kukuh dan bersifat defensif seperti utiliti, telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui dan pengguna dijangka menjadi tumpuan.

Keputusan PRU15 yang diadakan pada hari Sabtu menyaksikan parlimen tergantung dengan tiada satu pakatan mempunyai kerusi mencukupi untuk majoriti mudah (112 diperlukan).

Walaupun Pakatan Harapan mempunyai kerusi terbanyak (82), terdapat laporan berita kemungkinan penggabungan parti-parti - perikatan Perikatan Nasional-Barisan Nasional-Gabungan Parti Sarawak -Gabungan Rakyat Sabah (131 kerusi).

Hong Leong Investment Bank pula berkata memandangkan keputusan pilihan raya parlimen tergantung tidak pernah berlaku sebelum ini, penjualan ketara di bursa tempatan dijangkakan.

"Kami menurunkan sasaran KLCI akhir 2022 kami kepada 1,470 daripada 1,540," katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank dan Public Bank susut tiga sen setiap satu kepada RM8.53 dan RM4.28, Tenaga turun 11 sen kepada RM8.27 sementara Petronas Chemicals dan IHH Healthcare merosot tujuh sen, masing-masing mencatatkan RM8.55 dan RM5.90.

Bagi saham aktif, Advance Synergy turun satu sen kepada 11.5 sen, Dagang Nexchange naik empat sen menjadi 54.5 sen, Eden menokok lima sen kepada 22 sen dan Genting berkurangan 20 sen kepada RM2.51.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 134.02 mata kepada 10,264.75, Indeks FBM Emas kerugian 120.52 mata menjadi 10,152.72 dan FBM ACE berkurangan 52.55 mata kepada 4,862.37.

Indeks FBMT 100 lebih rendah sebanyak 114.02 mata kepada 9,896.78 dan FBM 70 susut 103.14 mata kepada 12,056.36.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga turun 21.95 mata kepada 701.38, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 58.49 mata kepada 16,117.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 2.8 mata kepada 175.8.

Sementara itu, Indeks Perladangan susut 30.69 mata kepada 6,849.54.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ASB 0.110
BURSA 7.450
DNEX 0.350
FBMKLCI 1536.070
GENTING 4.700
IHH 6.050
PBBANK 4.220

Comments

TUANKU SHAHRUZZAMAN SHAHRUZZAMAN BAHARUDIN
Like · Reply
TAWAR MENAWAR CAMPOR BARANG KERAS NILAI HARI SERTA LUAR JAKAAN BROKERS TERDS INDEX

Login to comment.