F&N bakal muncul peneraju makanan berbungkus
KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) yakin dapat menjadi peneraju dalam segmen makanan berbungkus, sekali gus menyokong pertumbuhan bahagian makanan halal.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe, berkata keyakinan itu adalah selepas kumpulan memperoleh 100 peratus ekuiti dalam Cocoaland Holdings Bhd (Cocoaland).
"Pemerolehan Cocoaland adalah langkah strategik bagi merealisasikan matlamat jangka panjang kami dalam segmen makanan berbungkus dan bahagian makanan halal.
"Dengan selesainya urus niaga ini, F&N akan memanfaatkan kekuatan kedua syarikat untuk menghasilkan nilai yang lebih tinggi untuk pemegang saham,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
F&N pada 4 November lalu memperoleh sepenuhnya Cocoaland yang kini menjadi anak syarikat milik penuh di bawahnya.
Cocoaland, pengeluar gula-gula kenyal terbesar di Malaysia dengan 'Lot 100' sebagai jenama utamanya semalam dikeluarkan daripada senarai Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Ia juga adalah pengeluar kontrak yang sudah sekian lama beroperasi untuk pelanggan farmaseutikal tempatan dan multinasional.
Ketika ini, Cocoaland masih lagi sebuah syarikat yang kecil bagi kategori konfeksi, gula-gula, biskut dan snek makanan yang bernilai RM4.2 bilion di Malaysia.
Mengulas lanjut, Yew Hoe berkata F&N melihat potensi yang besar untuk mengembangkan bahagian pasarannya dalam dua kategori itu, terutamanya dalam rangkaian kesihatan dan kefungsian.
Beliau berkata, F&N merancang untuk menggunakan kekuatan Cocoaland dan melabur dalam jenama bagi memperkenalkan portfolio baharu seperti produk berasaskan tumbuhan dan kesihatan & kesejahteraan.
Katanya, Cocoaland membawa pelbagai sinergi kepada kumpulan, dengan rangkaian produknya yang mempunyai laluan ke pasaran dan acara penggunaan yang sama seperti produk minuman dan tenusu F&N yang ada ketika ini.
"Makanan ringan dan konfeksi popular Cocoaland juga menyokong F&N dan Sri Nona untuk mencipta portfolio yang lebih luas.
"Ia dapat meningkatkan penguasaan kumpulan di luar negara, terutamanya dalam pasaran halal," katanya.
Yew Hoe berkata, bagi perniagaan domestik, Cocoaland juga boleh memanfaatkan rangkaian pengedaran dan sinergi perolehan F&N.
Beliau berkata, Cocoaland turut menawarkan kapasiti untuk pengembangan yang mencukupi, dengan empat kilang pembuatan di Malaysia bagi menyokong perniagaan sedia ada dan pertumbuhan masa depan.
Sri Nona, katanya akan menggunakan ruang berlebihan kilang untuk meningkatkan kapasiti yang sangat diperlukan untuk membuat ketupat dan rangkaian minuman Cocoaland akan menghasilkan lebih banyak produk F&N.
"Walaupun terdapat gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos barang jualan yang dihadapi oleh industri, Cocoaland telah mencapai pemulihan yang luar biasa berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
Bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2022, Cocoaland mencatatkan pendapatan RM71.7 juta, lonjakan 55.8 peratus tahun ke tahun, manakala keuntungan bersih melonjak kepada RM10.6 juta daripada RM4.1 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi kewangan suku ketiga Cocoaland adalah sejajar dengan prestasi F&N dalam tempoh yang sama untuk operasinya di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Cocoaland, Bryan Lee Chee Kong, berkata prestasi kukuh untuk tahun kewangan semasa dan peningkatan permintaan pengguna untuk makanan berbungkus mencerminkan peluang untuk berkembang lebih jauh.
"Kami akan memanfaatkan inovasi, pembangunan produk baharu dan keupayaan pengurusan jenama F&N untuk memaksimumkan potensi jenama sedia ada serta membangunkan jenama baharu," katanya.
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Related Stocks
Comments