Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi, naik 0.67 mata

BeritaHarian Fri, Feb 03, 2023 07:35pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melantun semula daripada penurunan sebelum ini dan ditutup tinggi hari ini mencecah paras 1,490 berikutan belian saat-saat akhir di kaunter wajaran tinggi di tengah-tengah prestasi bercampur-campur di bursa serantau lain.

Pada jam 5 petang, FBM KLCI meningkat 0.67 mata kepada 1,490.47 berbanding paras penutup 1,489.80 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.76 mata kepada 1,490.56 dan bergerak antara paras 1,485.25 dan 1,493.34 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 510 berbanding 443, manakala 388 kaunter tidak berubah, 829 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.36 bilion unit bernilai RM2.41 bilion berbanding 5.14 bilion unit bernilai RM2.95 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI kekal dalam fasa penstabilan apabila pelabur enggan mengambil langkah seterusnya berikutan ketidakpastian berhubung prestasi ekonomi global.

"Kita melihat pasaran global tidak menentu disebabkan kekurangan hala tuju, tetapi bagi Bursa Malaysia, kita masih melihat sokongan padu daripada para pelabur," katanya.

Beliau berkata, di peringkat serantau, indeks utama diniagakan bercampur-campur susulan prestasi lemah di Wall Street semalaman apabila data pendapatan yang mengecewakan daripada syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan sentimen menjelang pengumuman laporan gaji AS.

Indeks utama serantau ditutup bercampur-campur dengan Nikkei 225 Jepun naik 0.39 peratus kepada 27,509.46, manakala Hang Seng Hong Kong turun 1.36 peratus kepada 21,660.47, Indeks Strait Times Singapura menokok 0.49 peratus kepada 3,380.04 dan Kospi Korea Selatan menambah 0.47 peratus kepada 2,480.40.

Di bursa tempatan, kaunter untung dalam kalangan saham wajaran tinggi diterajui oleh Petronas Chemicals, yang naik sembilan sen kepada RM8.31, IHH menokok lapan sen kepada RM6.03, Press Metal naik enam sen kepada RM5.36, MR DIY naik lima sen kepada RM1.90, manakala Kuala Lumpur Kepong meningkat 26 sen kepada RM22.02.

Bagaimanapun, kaunter utama lain Maybank, turun satu sen kepada RM8.71, Public Bank tidak berubah pada RM4.21 dan CIMB susut empat sen kepada RM5.66.

Dalam kalangan kaunter cergas, Borneo Oil tidak berubah pada dua sen, Hong Seng turun 2.5 sen kepada 19 sen, Zen Tech dan Sapura Energy jatuh setengah sen setiap satu masing-masing kepada 6.5 sen dan 4.5 sen manakala Ta Win tidak berubah pada tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.35 mata kepada 10,886.35, Indeks FBMT 100 naik 8.80 mata kepada 10,547.89 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 27.25 mata kepada 11,212.27.

Indeks FBM 70 menambah 28.95 mata kepada 13,884.99 dan Indeks FBM ACE naik 31.91 mata kepada 5,843.23.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.48 mata kepada 191.75, Indeks Perladangan meningkat 23.57 mata kepada 6,927.24 tetapi Indeks Tenaga susut 1.46 mata kepada 906.11 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 26.82 mata kepada 16,314.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 2.93 bilion saham bernilai RM1.89 bilion berbanding dengan 3.93 bilion saham bernilai RM2.54 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 290.29 juta unit bernilai RM54.02 juta daripada 324.53 juta unit bernilai RM54.48 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.13 bilion saham bernilai RM454.44 juta daripada 887.88 juta saham bernilai RM349.22 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 301.22 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.02 bilion); pembinaan (88.45 juta); teknologi (583.41 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (74.09 juta); hartanah (184.27 juta); perladangan (48.53 juta); REITs (10.78 juta), dana tertutup (2,000); tenaga (459.20 juta); penjagaan kesihatan (60.27 juta); telekomunikasi dan media (31.60 juta); pengangkutan dan logistik (61.54 juta); dan utiliti (12.61 juta).

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin susulan cuti ganti sempena sambutan Thaipusam yang jatuh pada hari Ahad. Urus niaga bursa akan disambung semula pada Selasa.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BORNOIL 0.010
BURSA 7.680
FBMKLCI 1589.590
KLK 23.140
PBBANK 4.120
SAPNRG 0.045

Comments

Login to comment.