KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini susulan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi perkhidmatan kewangan berkaitan indeks terpilih.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 1.19 mata atau 0.075 peratus lebih tinggi kepada 1,595.48 daripada 1,594.29 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks itu dibuka 2.55 mata lebih tinggi kepada 1,596.84 dan bergerak antara 1,593.37 dan 1,603.94 hari ini.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 549 berbanding 497 manakala 490 kaunter tidak berubah, 879 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan susut kepada 2.83 bilion unit bernilai RM2.37 bilion daripada 3.43 bilion unit bernilai RM3.19 bilion pada Jumaat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI diniagakan dalam julat kecil kerana pelabur kekal berwaspada berikutan jualan asing, yang mengekang indeks petunjuk pasaran daripada mengekalkan paras 1,600 walaupun beberapa kali mencuba.
Di pasaran serantau, pasaran meningkat diterajui oleh China dan Hong Kong, yang merekodkan kenaikan apabila data pembuatan November China melebihi jangkaan, disokong oleh langkah rangsangan yang agresif baru-baru ini.
Pak Leng berkata, Amerika Syarikat (AS) dijangka mengeluarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan lewat hari ini dan PMI komposit S&P Global pada Rabu.
"Berikutan perubahan yang tidak dijangka dalam sentimen pasaran tempatan, kami menyarankan untuk sentiasa berwaspada di tengah-tengah situasi tidak menentu yang meningkat.
"Pelabur perlu mempertimbangkan untuk mengumpul saham mewah dengan asas yang kukuh, terutama yang mencatatkan penurunan ketara, kerana mereka kini dalam dagangan dengan penilaian yang menarik," katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Rakuten Trade menjangka FBM KLCI akan kekal diniagakan tidak berubah, didagangkan dalam julat 1,590 hingga 1,610 untuk minggu ini.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, menyifatkan kestabilan pasaran hari ini adalah berikutan prestasi kukuh Wall Street pada Jumaat lalu, serta peningkatan yang didorong terutamanya daripada momentum kukuh pengeluar aluminium, disokong oleh prestasi pendapatan yang kukuh.
"Memandangkan kita telah melangkah kepada Disember, kami menjangka potensi peningkatan semula dalam indeks ini berikutan penurunan 0.60 peratus pada November.
"Data daripada 2003 hingga 2023 menunjukkan FBM KLCI telah memberikan pulangan positif pada Disember sebanyak 16 kali, dengan hanya mencatatkan lima prestasi negatif," katanya.
Kaunter wajaran tinggi Maybank susut 12 sen kepada RM10.08, CIMB rendah empat sen kepada RM8.21, Tenaga Nasional menyusut 18 sen kepada RM13.48 dan IHH rendah enam sen kepada RM7.20 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.47.
Antara saham aktif, Velesto Energy dan Aimflex masing-masing berkurangan setengah sen kepada 15.5 sen manakala Sapura Energy, Capital A dan Saudigold tidak berubah masing-masing pada empat sen, RM1 dan dua sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.90 mata kepada 12,148.03, Indeks FBMT 100 naik 14.30 mata kepada 11,838.09 dan Indeks FBM 70 menokok 41.63 mata kepada 17,901.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 143.41 mata kepada 19,046.62 manakala Indeks Perladangan menokok 139.74 mata kepada 7,671.56.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 3.28 mata kepada 173.57 manakala Indeks Tenaga susut 3.68 mata kepada 808.61.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.55 bilion unit bernilai RM2.16 bilion daripada 1.93 bilion unit bernilai RM2.93 bilion Jumaat lalu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 886.00 juta unit bernilai RM80.89 juta daripada 823.80 juta unit bernilai RM77.47 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 395.42 juta unit bernilai RM127.40 juta daripada 676.04 juta unit bernilai RM177.21 juta pada Jumaat.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 285.04 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (345.65 juta), pembinaan (90.53 juta), teknologi (163.92 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (88.42 juta), hartanah (164.73 juta), perladangan (69.15 juta), REIT (9.64 juta), dana tertutup (3,500), tenaga (162.40 juta), penjagaan kesihatan (58.06 juta), telekomunikasi dan media (34.47 juta), pengangkutan dan logistik (37.82 juta), utiliti (38.34 juta), dan amanah perniagaan (109,700).
-BERNAMA
