Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur tunggu hala tuju tarif AS

BeritaHarian Tue, Sep 02, 2025 12:40pm - 6 months View Original


Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini dengan aliran lemah berikutan sentimen berhati-hati pelabur selepas cuti panjang hujung minggu, selain pengaruh prestasi negatif niaga hadapan indeks Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.24 mata kepada 1,571.88 berbanding 1,575.12 ketika ditutup Jumaat lalu. Indeks itu bagaimanapun dibuka tinggi 1.74 mata kepada 1,576.86.

Dalam pasaran keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 235 berbanding 164, manakala 322 kaunter tidak berubah, 1,818 tidak diniagakan dan tujuh digantung. Jumlah dagangan setakat ini sebanyak 163.65 juta unit bernilai RM135.91 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur kini menilai ketidaktentuan dasar perdagangan selepas Mahkamah Rayuan Persekutuan AS memutuskan sebahagian besar tarif Trump sebagai tidak sah, dengan bekas Presiden itu dijangka membuat rayuan ke Mahkamah Agung. Katanya, walaupun keputusan muktamad tarif boleh memberi kesan positif kepada pasaran, sentimen jangka pendek kekal lemah kerana kebarangkalian rundingan semula serta kecenderungan pasaran AS yang biasanya suram pada bulan September.

Di peringkat tempatan, Malacca Securities menjangkakan kesan limpahan positif daripada program SARA apabila lebih RM50 juta dibelanjakan pada hari pertama pengagihan tunai RM100, memberi kelebihan kepada 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd. Gamuda Bhd juga dijangka menerima perhatian selepas meraih kontrak bernilai RM2.1 bilion membina pusat data berskala besar di Eco Business Park V, Selangor, yang mampu mengukuhkan prospek sektor pusat data.

Selain itu, NEXG Bhd turut menjadi tumpuan selepas memperoleh kontrak enam tahun bernilai RM1.7 bilion bagi membekalkan pasport Malaysia. Saham syarikat itu berpotensi menguji semula paras tertinggi 52 minggu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM9.97, IHH Healthcare dan Press Metal Aluminium masing-masing meningkat tiga sen kepada RM6.82 dan RM5.59, manakala Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.26 dan CIMB Group susut 22 sen kepada RM7.21.

Bagi saham aktif, NEXG naik setengah sen kepada 49.5 sen, Genetec Technology meningkat satu sen kepada 52 sen, TA Win Holdings dan Mestron Holdings kekal pada 1.5 sen dan 23 sen, manakala Ekovest turun 1.5 sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, FBM Emas susut 27.35 mata kepada 11,675.54, FBMT 100 turun 27.43 mata kepada 11,447.14 dan FBM Emas Shariah berkurang 7.50 mata kepada 11,641.58. Indeks FBM 70 jatuh 56.35 mata kepada 16,419.88, manakala FBM ACE lemah 13.15 mata kepada 4,708.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 75.75 mata kepada 18,035.27, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.29 mata kepada 161.93, Indeks Perladangan berkurang 13.37 mata kepada 7,581.08 dan Indeks Tenaga turun 0.62 mata kepada 739.60.

– BERNAMA

---

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

99SMART 3.470
BURSA 8.830
EKOVEST 0.245
FBMACE 4400.030
FBMEMAS 12527.360
FBMKLCI 1718.060
FBMSHA 12206.800
GAMUDA 4.150
GENETEC 0.165
IHH 8.900
MESTRON 0.150
NEXG 0.290
NEXG-WB 0.120
PBBANK 4.870
TAWIN 0.015

Comments

Login to comment.