KUALA LUMPUR: Institusi tempatan muncul pembeli bersih saham di Bursa Malaysia pada Jun sebanyak RM310 juta selepas menjadi penjual bersih bernilai RM660 juta pada bulan sebelumnya, demikian menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Sementara itu, ia berkata pelabur runcit tempatan yang menjadi penjual bersih di pasaran saham tempatan sejak Julai 2023 pula mengurangkan penjualan bersih kepada hanya RM250 juta bulan lalu, berbanding RM830 juta yang dicatatkan pada Mei.
Pelabur asing pula, katanya menjadi penjual bersih marginal saham tempatan bulan lalu sebanyak RM61 juta, selepas merekodkan pembelian bersih yang besar berjumlah RM1.49 bilion pada Mei, dengan kebanyakan penjualan itu berlaku pada separuh kedua Jun.
Bank pelaburan itu berkata, ini menjadikan penjualan bersih asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM820 juta, jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan penjualan bersih sebanyak RM2.34 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
"Pegangan saham asing hampir tidak berubah pada Jun berbanding 19.6 peratus setakat akhir Mei. Aktiviti perdagangan kekal memberangsangkan dengan purata nilai perdagangan harian (ADV) berada pada RM4.3 bilion.
"Penyertaan pelabur asing pula berada pada 32.2 peratus, institusi tempatan (44.1 peratus) dan pelabur runcit (22.5 peratus)," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pada Jun, lima saham tempatan yang paling banyak dijual oleh pelabur asing dari segi nilai adalah Public Bank, Maybank, CIMB, YTL Power dan KL Kepong.
Manakala, lima saham yang paling banyak dibeli pelabur asing adalah Tenaga, Press Metal, MISC, VS Industry dan Inari.
Setakat tahun ini, saham yang paling banyak dijual oleh pelabur asing adalah Public Bank, KL Kepong, RHB Bank, CIMB dan Nestle, manakala pembelian terbesar adalah Tenaga, MISC, IJM, YTL Power dan Sime Darby.
Di rantau ASEAN, pelabur asing menjual bersih saham di Thailand sebanyak AS$950 juta, Vietnam (AS$100 juta) dan Indonesia RM90 juta).
Secara relatifnya, penjualan bersih asing saham tempatan pada Jun adalah yang paling kecil dalam kalangan negara serantau.
Setakat tahun ini, pelabur asing muncul penjual bersih di semua pasaran ASEAN iaitu Thailand (AS$3.23 bilion), Vietnam (AS$2.07 bilion), Filipina (RM530 juta), Indonesia (AS$430 juta) dan Malaysia (AS$170 juta).
MIDF Research berkata, pelabur asing membeli RM5.5 bilion boleh tempatan pada Mei, kenaikan bulanan paling tinggi sejak Julai 2023 apabila sentimen lebih baik terhadap Perbendaharaan AS menyokong aset risiko dan mata wang Asia.
Katanya, aliran masuk terkumpul dana asing dalam bon tempatan bertukar positif kepada RM1.5 bilion setakat tahun ini.