Bursa Malaysia ditutup rendah susulan pengambilan untung

BeritaHarian Thu, Jan 08, 2026 07:20pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung dalam saham permodalan besar apabila pelabur mengalihkan tumpuan kepada kaunter permodalan kecil di tengah-tengah prestasi lemah pasaran serantau.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.26 mata atau 0.43 peratus kepada 1,669.57 berbanding 1,676.83 pada Rabu. Indeks penanda aras itu dibuka lebih rendah, turun 2.61 mata kepada 1,674.22 dan bergerak dalam julat 1,666.34 hingga 1,674.44 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 579 berbanding 489, manakala 565 kaunter tidak berubah, 1,016 tidak diniagakan dan 12 digantung. Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.84 bilion berbanding 2.73 bilion unit bernilai RM2.76 bilion pada Rabu.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata Bursa Malaysia diniagakan lebih rendah apabila pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati susulan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur semalaman, sekali gus mencetuskan ketidakpastian mengenai potensi penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Beliau berkata, walaupun data ekonomi utama AS itu belum muktamad, butiran daripada data buruh peringkat kedua masih belum mencukupi untuk mewajarkan pelonggaran monetari yang agresif, seterusnya mengehadkan minat risiko di peringkat global.

"Dalam persekitaran ini, FBM KLCI kekal dalam jajaran kecil dengan paras sokongan pada 1,655 hingga 1,660 dan paras rintangan pada 1,675 hingga 1,680. Pasaran tempatan dijangka kekal selektif sehingga terdapat hala tuju yang lebih jelas terhadap prospek dasar Fed.

"Pasaran global juga sedang menunggu pengumuman laporan gaji bukan ladang AS pada Jumaat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, melihat pengambilan untung hari ini sebagai penurunan yang sihat kerana ia memberi ruang kepada pasaran untuk mencerna aliran menaik sebelum ini serta mengukuhkan asas kenaikan.

"Pada masa sama, pelabur mengalihkan perhatian kepada saham permodalan kecil yang mempunyai asas kukuh tetapi masih diniagakan di bawah nilai saksama, sekali gus mewujudkan peluang dagangan menarik kepada pelabur runcit dalam persekitaran pasaran yang lebih selektif.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,660 hingga 1,680 menjelang hujung minggu ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Telekom Malaysia meningkat 12 sen kepada RM7.92, manakala CIMB dan Sunway tidak berubah masing-masing pada RM8.06 dan RM5.58. Maybank dan Public Bank susut empat sen setiap satu kepada RM10.64 dan RM4.49.

Bagi saham paling aktif, Dagang NeXchange naik 3.5 sen kepada 36 sen, Tanco meningkat tiga sen kepada RM1.23, Bina Puri menambah setengah sen kepada 30 sen dan UEM Sunrise melonjak lima sen kepada 66 sen. Zetrix AI tidak berubah pada 81.5 sen manakala MMAG susut setengah sen kepada tujuh sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, United Plantations melonjak RM1.68 kepada RM33.12, Allianz Malaysia meningkat 80 sen kepada RM21.00, manakala Malaysian Pacific Industries dan Hong Leong Financial Group masing-masing naik 40 sen kepada RM32.40 dan RM19.36.

Bagi saham paling rugi, Nestle susut RM1 kepada RM121.00, Fraser & Neave turun 38 sen kepada RM35.70, Bintulu Port berkurangan 20 sen kepada RM5.30, Petronas Gas menyusut 18 sen kepada RM18.20 dan Petronas Chemicals merosot 16 sen kepada RM3.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 10.68 mata kepada 12,349.42, Indeks FBM Top 100 susut 15.20 mata kepada 12,136.75, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.29 mata kepada 12,167.04. Indeks FBM Mid 70 melonjak 146.38 mata kepada 17,319.58 dan Indeks FBM ACE naik 17.90 mata kepada 4,982.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 34.46 mata kepada 19,739.73, Indeks Tenaga meningkat 0.66 mata kepada 770.31, Indeks Perladangan menokok 39.76 mata kepada 8,437.70, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.56 mata kepada 171.90.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.53 bilion unit bernilai RM2.51 bilion berbanding 1.52 bilion unit bernilai RM2.49 bilion pada Rabu. Dagangan waran menyusut kepada 809.94 juta unit bernilai RM111.36 juta daripada 898.30 juta unit bernilai RM115.32 juta, manakala dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 458.51 juta unit bernilai RM216.69 juta berbanding 312.54 juta unit bernilai RM154.97 juta sebelum ini.

– BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ALLIANZ 20.860
BURSA 8.830
DNEX 0.265
DNEX-WE 0.150
FBM70 17103.330
FBMACE 4400.030
FBMEMAS 12527.360
FBMKLCI 1718.060
FBMSHA 12206.800
FBMT100 12367.410
HLFG 20.860
MPI 30.100
NESTLE 105.800
PBBANK 4.870
PCHEM 4.290
PETGAS 18.140
SUNWAY 5.630
TM 7.490
UEMS 0.510
UTDPLT 30.280
ZETRIX 0.800

Comments

Login to comment.