KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh data ekonomi domestik dan global yang semakin baik, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dalam tempoh terdekat.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI meningkat apabila sentimen pasaran bertambah positif, mencerminkan optimisme terhadap pasaran buruh negara yang kukuh, pengukuhan ringgit serta persekitaran risiko global yang lebih stabil.
Saham Asia turut melonjak hari ini didorong harapan terhadap penyelesaian yang dapat menamatkan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS). Laporan menyatakan Senat AS meluluskan peringkat pertama perjanjian lewat malam Ahad, membuka laluan untuk menamatkan penutupan kerajaan yang bermula 1 Oktober lalu.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.25 mata, atau 0.51 peratus, kepada 1,627.38 berbanding 1,619.13 pada penutupan Jumaat. Indeks penanda aras itu dibuka 2.40 mata lebih tinggi pada 1,621.53 dan bergerak dalam julat antara 1,620.49 hingga 1,633.52 sepanjang dagangan.
Pasaran lebih meluas turut positif dengan 601 kaunter untung mengatasi 470 kaunter rugi, manakala 585 kaunter tidak berubah, 1,004 tidak didagangkan dan sembilan kaunter digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.92 bilion unit bernilai RM2.28 bilion berbanding 3.53 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Jumaat.
Mohd Sedek berkata data terkini tenaga buruh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terus mengukuhkan asas domestik, dengan pengembangan berterusan menunjukkan pemulihan kukuh permintaan isi rumah serta peranan penting pasaran buruh dalam menyokong ketahanan ekonomi negara menjelang penghujung tahun.
Beliau menambah, sentimen pelabur turut diperkukuh oleh pengukuhan ringgit, disokong petunjuk makroekonomi stabil dan aliran masuk portfolio yang lebih tinggi.
"Secara keseluruhan, prestasi pasaran hari ini menonjolkan hubungan antara asas domestik yang kukuh dan isyarat makro global yang bertambah baik. Pasaran ekuiti Malaysia berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan momentum kenaikan sehingga suku akhir 2025," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 3.0 sen kepada RM9.94, Public Bank tidak berubah pada RM4.27, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM7.58, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM13.34, manakala IHH Healthcare susut 6.0 sen kepada RM8.22.
Bagi kaunter aktif, MMAG naik 1.0 sen kepada 9.5 sen, Perak Transit menambah setengah sen kepada 29.5 sen, Pharmaniaga turun setengah sen kepada 26 sen, manakala Zen Tech dan EA Holdings masing-masing kekal pada setengah sen.
Antara kaunter untung tertinggi, Fraser & Neave meningkat RM1.16 kepada RM28.76, Malaysian Pacific Industries naik RM1.02 kepada RM31.10, Kuala Lumpur Kepong menambah 4.0 sen kepada RM21.12, dan Hong Leong Industries memperoleh 32 sen kepada RM15.06.
Bagi kaunter rugi tertinggi, Nestle turun 40 sen kepada RM112.00, UMS Integration susut 10 sen kepada RM4.76, United Plantations berkurangan 20 sen kepada RM25.38, dan PIE Industries melemah 16 sen kepada RM2.73.
-- BERNAMA
