KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi bercampur-campur Wall Street apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai kadar faedah minggu depan.
Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.70 mata kepada 1,618.37 berbanding 1,621.07 pada akhir dagangan semalam, selepas dibuka pada 1,620.70.
Pasaran keseluruhan kekal lemah dengan 169 kaunter rugi mengatasi 143 kaunter untung, manakala 263 tidak berubah, 2,169 tidak diniagakan dan 18 digantung dagangan. Jumlah dagangan mencecah 150.10 juta unit bernilai RM65.15 juta.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin, berkata terdapat petunjuk jelas bahawa pasaran tenaga kerja Amerika Syarikat semakin lemah, meningkatkan jangkaan penurunan kadar faedah Fed sebanyak 25 mata asas lagi.
Beliau berkata hasil bon 10 tahun AS meningkat kepada 4.10 peratus, manakala di Hong Kong, Indeks Hang Seng melonjak menghampiri paras 26,000 susulan keyakinan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah AS.
Di Malaysia, beliau berkata FBM KLCI terus membuat pembetulan berkala dan ditutup sedikit rendah semalam pada paras melepasi 1,620.
"Sentimen pasaran kekal berhati-hati apabila kebanyakan pedagang mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Namun kami percaya pengukuhan ringgit kepada 4.11 berbanding dolar AS pada penutupan semalam berpotensi menarik aliran masuk dana asing.
"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat antara 1,620 hingga 1,630," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik 1.0 sen kepada RM7.93, Tenaga Nasional menokok 6.0 sen kepada RM12.56, Maybank susut 4.0 sen kepada RM10.20, Public Bank berkurangan 2.0 sen kepada RM4.37 manakala IHH Healthcare kekal pada RM8.31.
Kaunter aktif pula menyaksikan V.S. Industry naik 2.0 sen kepada 48 sen, Omesti menambah setengah sen kepada 7 sen, Geohan Corporation yang baru disenaraikan susut 1.0 sen kepada 54 sen, manakala Velesto Energy dan TWL Holdings kekal pada 24.5 sen dan 2.5 sen.
Sementara itu, kaunter untung terbesar melibatkan Life Water dan Petronas Dagangan yang masing-masing naik 12 sen kepada RM1.56 dan RM19.94, diikuti Southern Acids yang menokok 20 sen kepada RM3.20, Petronas Gas tambah 8.0 sen kepada RM17.38 dan Tenaga Nasional yang meningkat 6.0 sen.
Kaunter rugi ketara termasuk Malaysian Pacific Industries yang susut 28 sen kepada RM31.80, Dutch Lady Milk Industries turun 20 sen kepada RM31.90 dan Kuala Lumpur Kepong berkurangan 10 sen kepada RM19.10.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah turun 15.60 mata kepada 11,816.08, Indeks FBMT 100 merosot 18.02 mata kepada 11,754.98, Indeks FBM Mid 70 susut 18.59 mata kepada 16,728.33, Indeks FBM ACE berkurangan 20.63 mata kepada 4,806.0 manakala Indeks FBM Emas menguncup 16.99 mata kepada 11,974.20.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 0.08 mata kepada 758.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 31.39 mata kepada 19,016.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.20 mata kepada 166.09 manakala Indeks Perladangan kehilangan 11.71 mata kepada 8,099.61.
