KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari pada Jumaat selepas pulih daripada kerugian awal, disokong oleh aktiviti belian lewat ke atas saham wajaran tinggi terpilih.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.81 mata atau 0.11 peratus kepada 1,732.83 daripada 1,731.02 pada penutupan semalam.
Penanda aras pasaran itu dibuka 1.79 mata lebih rendah pada 1,729.23 dan seterusnya mencecah paras terendah intra hari 1,723.91 pada awal dagangan. Ia bergerak dalam julat sempit sepanjang kebanyakan sesi sebelum mengukuh menjelang penutupan.
Bagaimanapun, di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 683 berbanding 408, dengan 544 kaunter tidak berubah, 1,020 kaunter tidak diniagakan dan 27 digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.02 bilion unit bernilai RM3.10 bilion daripada 3.30 bilion unit bernilai RM3.25 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks serantau utama cenderung menurun susulan jualan besar-besaran di Wall Street semalaman, apabila pelabur semakin skeptikal terhadap pulangan jangka terdekat daripada pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI).
"Pembetulan itu susulan pengumuman pendapatan oleh Alphabet dan Microsoft yang kembali mencetuskan kebimbangan mengenai keuntungan jangka panjang daripada perbelanjaan modal besar bagi AI, walaupun kedua-dua syarikat mencatatkan hasil yang melebihi jangkaan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI berbalik daripada kelemahan awal untuk ditutup sedikit tinggi hari ini, sekali gus meneruskan fasa pengukuhan sambil terus mengatasi prestasi kebanyakan rakan serantau dalam suasana 'risk-off' yang ketara merentasi ekuiti Asia.
"Volatiliti intra hari dan pemulihan seterusnya hari ini didorong oleh penggiliran dalaman, bukannya aliran keluar modal.
"Pada peringkat komponen, pergerakan harga dicirikan oleh perubahan cetek dan terpilih, dengan prestasi bercampur dalam kalangan saham perbankan wajaran tinggi yang menunjukkan pengimbangan semula dalam sektor, bukan pengurangan risiko secara menyeluruh," katanya.
Mohd Sedek berkata, pengambilan untung sederhana dalam saham defensif terpilih berbeza dengan kekuatan berterusan dalam sektor infrastruktur, tenaga dan penggunaan budi bicara, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan permintaan domestik serta kesinambungan dasar.
"Ketiadaan kejatuhan besar dalam kalangan saham wajaran tinggi indeks turut menegaskan bahawa tekanan jualan kekal bersifat taktikal dan dipacu faktor luaran," katanya.
Sebagai kesimpulan, Mohd Sedek berkata pasaran kini melalui pembetulan masa, bukannya pembetulan harga, dengan mencerna keuntungan sebelum ini di tengah-tengah risiko global yang meningkat tanpa penilaian semula asas domestik.
"Pemulihan lewat sesi, berlatarkan kelemahan ketara pasaran serantau, menonjolkan struktur pasaran beta rendah Malaysia serta peranan penambat sektor berasaskan domestik," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 7.0 sen kepada RM4.97, IHH Healthcare naik 3.0 sen kepada RM8.80, CIMB susut 6.0 sen kepada RM8.46, Tenaga Nasional turun 4.0 sen kepada RM13.94, manakala Maybank tidak berubah pada RM11.94.
Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI dan Tanco masing-masing susut 1.0 sen kepada 68.5 sen dan RM1.33, pendatang baharu Pasaran ACE AmBest Group meningkat 9.5 sen kepada 34.5 sen, Pharmaniaga naik setengah sen kepada 29.5 sen, manakala Velesto Energy mendatar pada 30 sen.
Antara saham paling untung, Petronas Dagangan meningkat 20 sen kepada RM20.50, Perak Corporation melonjak 10.5 sen kepada 68.5 sen, manakala Petronas Gas, Solarvest dan Life Water masing-masing naik 10 sen kepada RM18.20, RM2.37 dan RM1.57.
Malaysian Pacific Industries mengetuai penurunan dengan jatuh RM1.60 kepada RM30.40, Fraser & Neave merosot 94 sen kepada RM32.94, Dutch Lady Milk Industries turun 46 sen kepada RM33.00, Nestle susut 30 sen kepada RM112.30, dan Allianz Malaysia berkurang 28 sen kepada RM22.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menyusut 0.96 mata kepada 12,470.99, Indeks FBM Emas merosot 4.73 mata kepada 12,639.69, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 19.83 mata kepada 12,105.49, Indeks FBM ACE turun 3.56 mata kepada 4,630.79, dan Indeks FBM Mid 70 berkurang 64.39 mata kepada 17,234.12.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 2.90 mata kepada 21,476.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.06 mata kepada 173.47, Indeks Perladangan susut 18.75 mata kepada 8,323.63, dan Indeks Tenaga berkurang 1.64 mata kepada 739.01.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menurun kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 2.28 bilion unit bernilai RM3.32 bilion pada Khamis.
Dagangan waran merosot kepada 810.24 juta unit bernilai RM88.93 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM1.33 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 529.41 juta unit bernilai RM207.76 juta daripada 482.17 juta unit bernilai RM204.19 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 231.45 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (305.62 juta), pembinaan (158.53 juta), teknologi (331.80 juta), perkhidmatan kewangan (129.16 juta), hartanah (164.34 juta), perladangan (20.89 juta), amanah pelaburan hartanah (29.37 juta), dana tertutup (23,800), tenaga (115.61 juta), penjagaan kesihatan (80.82 juta), telekomunikasi dan media (39.40 juta), pengangkutan dan logistik (42.04 juta), utiliti (28.35 juta) serta amanah perniagaan (16,800).
-BERNAMA
